LOS ANGELES – Seorang lelaki dari negeri
California mengaku dia memainkan peranan di sebalik pembikinan filem
yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW sekali gus mencetuskan
bantahan hebat umat Islam terutamanya di Mesir dan Libya kelmarin.
Lelaki berkenaan, Nakoula Basseley
Nakoula yang mengamalkan ajaran Kristian Koptik dan pernah didapati
bersalah kerana melakukan jenayah kewangan memberitahu agensi berita
Associated Press (AP) bahawa dia memainkan peranan mengurus dan
membekalkan logistik untuk produksi tersebut.
Lelaki berusia 55 tahun itu turut mengaku dia adalah pengurus syarikat yang menerbitkan filem berjudul Innocence of Muslims itu.
Namun, dalam satu temu bual dekat sini kelmarin, Nakoula menafikan dia mengarahkan filem biadap itu.
Sebaliknya, dia menyatakan mengenali penulis dan pengarah Innocence of Muslims, Sam Bacile.
Bagaimanapun, nombor telefon yang
dihubungi AP pada Selasa lalu untuk menelefon Bacile didapati
menggunakan alamat sama dengan lokasi di mana Nakoula ditemui.
Rekod mahkamah persekutuan AS menunjukkan Nakoula mempunyai beberapa nama lain termasuk Nicola Bacily dan Erwin Salameh.
Lelaki itu menyatakan bahawa Bacile menyokong kebimbangan berhubung layanan buruk umat Islam terhadap penganut Kristian Koptik.
Namun, Nakoula menafikan dia menyamar diri sebagai Bacile.
Semasa temu bual tersebut di luar
rumahnya, lelaki itu menunjukkan lesen memandunya untuk mengesahkan
identitinya tetapi dia menggunakan ibu jari untuk menutup nama
tengahnya, Basseley.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang
paderi yang mencetuskan kemarahan umat Islam dengan membakar beberapa
naskhah al-Quran, Terry Jones menyatakan, dia sempat berbual dengan
Bacile melalui telefon kelmarin.
Jones berkata, lelaki berkenaan menghubunginya beberapa minggu lalu untuk mempromosikan filem tersebut.
“Saya tidak menemui dia. Sam Bacile bukan nama sebenarnya.
“Saya cuma bercakap dengannya melalui telefon. Dia tentu bersembunyi dan tidak mendedahkan identitinya,” kata Jones.
Bacile sebelum ini menyatakan dia dilahirkan di Israel, berusia 56 tahun dan berketurunan Yahudi.
Seorang aktivis Kristian yang turut
terlibat dalam projek filem berkenaan, Steve Klein memberitahu kelmarin
bahawa Bacile merupakan nama samaran pengarah filem tersebut dengan dia
seorang penganut Kristian.
Terdahulu, beberapa pegawai di Israel berkata, tiada rekod ditemui menyatakan Bacile seorang rakyatnya.
Menurut Klein, sekitar 15 pelakon dari
Syria, Iraq, Turki, Pakistan, Iran dan beberapa penganut Kristian Qibti
Mesir terlibat dalam filem Innocence of Muslims.
“Kebanyakan mereka enggan memberitahu nama sebenar kerana mereka takut,” kata Klein.
Sementara itu, YouTube telah menarik
balik klip video filem itu di Mesir dan Libya kelmarin. Namun, video
berkenaan masih boleh diakses di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa
negara lain.
Dalam perkembangan terbaharu, pihak berkuasa Libya membuat beberapa tangkapan berhubung serangan ke atas Kedutaan AS di Benghazi
“Kementerian Dalam Negeri dan
Kementerian Kehakiman telah memulakan siasatan dan mengumpulkan bukti
dengan beberapa orang telah ditangkap,” kata Timbalan Menteri Dalam
Negeri, Wanis Al-Sharif.
Namun, beliau enggan memberikan butiran
terperinci berhubung bilangan orang yang ditangkap atau latar belakang
mereka kerana tidak mahu menjejaskan siasatan.
No comments:
Post a Comment